Berita Harian, 9 August 2004
Fasa 2 Alpinia Lebih Lengkap

KEDIAMAN reka bentuk moden dikelilingi kehijauan alam semula jadi pasti menambat hati setiap individu yang berkunjung ke fasa dua perumahan Alpinia di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor Bahru yang sedang dibangunkan.  

Timbalan Pengurus Pemasaran Scientex Quatari Sdn Bhd, Joanne Ng, berkata fasa dua taman perumahan itu menawarkan 352 unit rumah teres dua tingkat berharga dari RM98,300 seunit dan dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu, dua bilik air serta dapur.  

Menurutnya, berbanding fasa satu, fasa dua menawarkan kediaman yang mempunyai reka bentuk moden, ruang bilik tidur lebih besar, ruang dapur basah dan dapur kering.  

"Rumah yang dibina bagi fasa baru ini juga dilengkapi tingkap berangka kayu keras dengan kaca boleh laras, tingkap berangka kayu keras dengan kaca tetap untuk lubang angin, tingkap gantung berbingkai aluminium, pintu kayu berhias, jubin seramik setinggi 1,500 milimeter untuk dapur dan tandas.  

"Mereka yang berminat membeli rumah ini hanya perlu menjelaskan wang pendahuluan sebanyak RM1,000. Selain itu, pembeli juga berpeluang mendapatkan pinjaman bank sehingga 100 peratus, yuran guaman percuma, yuran proses pinjaman percuma, yuran penilaian perumahan percuma dan yuran insuran percuma bagi pemilik rumah untuk tahun pertama.  

"Orang ramai juga berpeluang menikmati bayaran ansuran serendah RM389 pada setiap bulan," katanya.  

Sementara itu, Joanne berkata, Taman Scientex juga menjadi antara kawasan perumahan yang terancang iaitu merangkumi 480 hektar tanah untuk tapak perumahan, tapak komersial, pembangunan industri dan peruntukan lokasi untuk pembinaan pusat beli-belah, kondominium dan banglo pada masa depan.  

Menurutnya, orang ramai yang memiliki rumah di kawasan perumahan itu juga berpeluang menikmati pelbagai kemudahan termasuk Alpinia Park , Politeknik Johor Bahru yang terletak sejauh 0.5 kilometer (km), Terminal Bas Masai (1.5 km), Pusat Bandar Pasir Gudang (1 km) dan Pasar raya Giant (13 km).  

"Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pejabat kami di Taman Scientex dan melihat rumah contoh.  
 

Back To 2004 Archives