Berita Harian, 13 Mac 2004
Taman Muzaffar Height penuhi impian penduduk bandar

MELAKA: Taman Muzaffar Height, yang berkedudukan strategik di antara Ayer Keroh dan Bukit Beruang berjaya memenuhi impian penduduk di kawasan Bandar yang mengidamkan kediaman selesa selain dengan dilengkapi pelbagai kemudahan.  

Bagi memenuhi impian itu pemaju perumahan Rising Heights Development Sdn Bhd, yang dulunya dikenali sebagai Scientex Aidiros Sdn Bhd melakar strategi terbaik untuk menepati citarasa pembeli.  

Dengan pembinaan antara 2,000 hingga 3,000 unit rumah kos sederhana dan mewah di kawasan seluas 70 hektar itu orang ramai yang megimpikan kediaman terancang di situ dapat menikmatinya.  

Bukan sahaja kawasan perumahan itu berdekatan dengan pusat bandar tetapi turut berhampiran dengan plaza tol Ayer Keroh yang menjadi pintu keluar masuk penduduk ke negeri ini.  

Selain itu, Taman Muzaffar Height, turut berdekatan dengan pusat pengajian tinggi Universiti Multimedia (MMU) serta kira-kira dua kilometre dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang bakal menjadi pusat pentadbiran negeri.  

Pembangunan terancang di taman perumahan itu turut dilengkapi dengan lanskap yang menarik dan menerusi kreativiti perancangan di kawasan berkenaan, Taman Muzaffar Height pernah memenangi anugerah pertandingan kecantikan keceriaan taman perumahan negeri Melaka pada tahunlalu.  

Ini sekali gus menjelaskan kepada pembeli walaupun taman perumahan itu berdekatan dengan kawasan industri faktor semulajadi sangat diberi perhatian serius.  

Pengurus Besar Rising Heights Development Sdn Bhd, Wong Chan Thong berkata pihaknya juga menyediakan aliran jalan yang cukup selesa untuk memudahkan pergerakan kenderaan.

Katanya, pemaju tidak menunggu pembinaan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer yang menghubungkan taman itu dengan Ayer Keroh Lama dan Bukit Beruang dibina oleh kerajaan.

Beliau berkata, dengan jalan raya baru itu, penduduk di taman berkenaan tidak akan menghadapi masalah kesesakkan jalan raya samada untuk pergi atau semasa pulang bekerja.  

"Ini adalah kemudahan yang cukup selesa dan baik untuk penduduk di sini dan kerana itulah pembeli Taman Muzaffar Heights tidak akan merasa rugi apabila memiliki rumah di sini," katanya di sini, semalam.  

Bagi persediaan jangka masa panjang, pemaju turut menyediakan tangki air yang boleh menampung keperluan air sehingga 400,000 gelen bagi menangani masalah bekalan air.

Wong berkata jika Perbadanan Air Melaka (Pam) menghadapi masalah air, penduduk di sini akan terus dapat menggunakan bekalan kerana tangki yang besar ini boleh membekalkan air sehingga seminggu.  

"Kemudahan ini adalah untuk keselesaan penduduk taman ini dan mereka juga tidak perlu bimbang mengenai bekalan serta kemudahan awam yang lain kerana pemaju akan menyediakannya secara beransur-ansur," katanya.

Back To 2004 Archives