Utusan Malaysia, 28 Januari 2008
SIB laksana tawaran sukarela untuk saham SciPack

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Scientex Inc. Bhd., (SIB) telah melaksanakan satu tawaran pengambilalihan sukarela bagi semua saham biasa dalam Scientex Packaging Bhd., (SciPack) yang tidak dikuasainya.

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Securities Bhd., di sini hari ini, SIB berkata, faktor utama inisiatif tawaran itu ialah untuk menggabungkan perniagaan SIB dan SciPack di bawah satu entiti senaraian tunggal.

Pengarah Urusan SIB, Lim Peng Jin berkata, penggabungan itu adalah baik untuk kedua-dua syarikat memandangkan entiti yang lebih besar itu akan lebih efektif dan berkesan dalam semua aspek operasi termasuk perancangan aliran tunai.

"Ia akan mewujudkan leveraj kewangan yang signifikan untuk melengkapi operasi hartanah dan pembungkusan dalam jangka masa panjang," katanya.

Tawaran sahamSIB akan menawarkan saham biasa yang baru pada nilai RM1.30 sesaham bagi setiap saham biasa SciPack sedia ada.

Setakat 31 Disember 2007, SIB menguasai 48.37 juta saham dalam SciPack, mewakili 61.37 peratus saham dalam SciPack.

Lim berkata, pelaksanaan itu membabitkan SIB melaksanakan tawaran baki 30.45 juta saham dalam SciPack yang kini dikuasai pemilik saham minoriti.

Beliau berkata, formula harga di bawah keperluan penyenaraian berdasarkan kepada harga pasaran purata wajaran volum untuk lima hari pada RM1.30 mewakili premium sebanyak 12.1 peratus, atau 14 sen, kepada harga pasaran purata wajaran volum untuk lima hari SciPack.

Lim berkata, sejurus selesai pelaksanaan itu, SIB merancang untuk menyah senarai SciPack.

"SIB juga telah mencadangkan untuk mengubah nama syarikatnya kepada Scientex Bhd.," katanya.

- Bernama