Berita Harian, 29 December 2004
SIB unjur prestasi tiga perniagaan teras lebih baik

SCIENTEX Incorporated Bhd (SIB) menjangkakan ketiga-tiga bahagian perniagaan terasnya iaitu produk pembungkusan, hartanah dan polimer akan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan tahun depan sejajar perkembangan ekonomi global dan negara yang semakin menggalakkan.  

Pengarah Urusannya, P J Lim, berkata ketiga-tiga bahagian perniagaan itu berupaya menyumbang secara konsisten kepada perolehan kumpulan berdasarkan peningkatan permintaan dalam sektor hartanah, produk plastik pembungkusan makanan dan komponen hiasan dalaman kereta yang dikeluarkan bahagian polimer syarikat.  

"SIB agak optimistik dengan keputusan kewangan syarikat tahun depan," katanya selepas mesyuarat agung tahunan SIB di Subang Jaya, semalam.  

Lim berkata, bahagian hartanah SIB kini sibuk membangunkan projek Taman Scientex di Johor yang mana kira-kira 2,700 unit kediaman ditawarkan untuk jualan pada harga lebih murah berbanding pemaju lain.  

"Sedikit penyesuaian pada saiz rumah membolehkan syarikat menjual rumah teres dalam projek itu pada harga RM120,000 seunit," katanya.  

Beliau berkata, jualan rumah di Taman Scientex dijangka meningkat tahun depan kerana pasar raya Econsave yang dibina di tengah-tengah taman perumahan itu sudah dibuka Oktober lalu.  

"Pembukaan pasar raya ini akan merangsang jualan dan melengkapi keseluruhan pembangunan projek itu yang akan dibangunkan dalam tempoh sehingga sepuluh tahun lagi," katanya.  

Bahagian hartanah SIB juga sedang menyiapkan projek rumah kedai di Melaka dikenali Plaza Pandan Malim Business Park dan unit kediaman, Taman Muzaffar Heights .  

Lim berkata, bahagian polimer yang mengeluarkan produk seperti alas lantai kereta dan pemegang pintu kereta bahagian dalam akan menikmati pertumbuhan menggalakkan dalam jangka masa sederhana dan panjang.  

"Produk hiasan dalaman kereta ini yang dibekalkan di pasaran domestik dan eksport menjanjikan potensi yang baik pada masa depan," katanya.  

Mengenai bahagian pembungkusan SIB, Lim berkata, keupayaan kilang pengeluaran polyurethane di Pulau Indah, Selangor dijangka meningkat 25 peratus dalam tahun kewangan semasa sejajar peningkatan permintaan dunia.  

Ketika ini, kilang mengeluarkan plastik pembungkusan makanan itu menyumbang kira-kira 60 peratus kepada perolehan SIB, manakala bahagian hartanah dan polimer masing-masing menyumbang 20 peratus.  

Dalam tempoh suku pertama berakhir 31 Oktober 2004, SIB mencatatkan perolehan RM112.9 juta, meningkat 57.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.  

Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 111.3 peratus kepada RM8.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Back To 2004 Archives